Alkisah berkenaan dengan pesakit. Ini pun suatu masalah juga. Datang dengan hajat untuk berikhtiar untuk sembuh dari penyakit tetapi di ajaknya si tukang ubat berbalah. Tidak menjadi masalah sekiranya ingin mengetahui sesuatu perkara itu dengan lebih terperinci. Tetapi jika datang sekadar untuk menguji si tukang ubat walhal diri sendiri sedang merana menangung penyakit, apa kebendanya tu?
Keyakinan si pesakit itu sebenarnya terhadap siapa? Si Tukang Ubat atau Yang Maha Esa yang mendatangkan dan yang akan menyembuhkan penyakit itu? Sekiranya si pesakit itu yakin bahawa si tukang ubat itu yang menyembuhkannya, anda kenalah mengucap semula. Sama juga hukumnya apabila si pesakit mempercayai doktor dan ubat di hospital, klinik atau farmasi boleh menyembuhkan penyakit. Segalanya itu hanya asbab sahaja. Dalam diri kita perlulah yakin dengan Allah bahawa Dialah yang mendatang dan menyembuhkan sesuatu penyakit itu.
Pernah terjadi banyak kali apabila saya datang untuk mengubati seseorang atau orang itu datang ke rumah saya. Saya dilihatnya atas bawah. Dengan lirikan mata dan bibir yang mencebik. Hmmmmmmm...."Ini ke rupa orangnya nak mengubat aku ni? Adui macam mat rempit ajer aku tengok." Mungkin itu yang bermain difikiran mereka ini. Biasnya mereka bertemu dengan orang yang berjubah, berserban atau paling tidak pun bersongkok atau berkopiah.
Jika anda "melihat" saya, jangan haraplah penyakit anda akan sembuh, tetapi jika anda "melihat" Allah, insyaAllah penyakit anda akan Allah sembuhkan. Bukanlah maksudnya, anda melihat saya seperti anda sedang melihat Allah, tidak sekali-kali. "Melihat" itu adalah yakin dengan kuasa Allah. Yakin bahawa Allah akan menyembuhkan penyakit anda, orang yang sedang anda berdepan sekarang hanyalah sekadar penyebab untuk anda sembuh. Tiada suatu pun perkara yang terjadi tiada bersebab kecuali Allah kehendaki terjadinya sesuatu itu tanpa sebab.
Mudah-mudahan apa yang diperkatakan ini kita renung dan kita timbang-timbang bersama. Wallahu'alam...
No comments:
Post a Comment